Friday, February 5, 2010

PROSEDUR KERJA PENENTUAN DAN PENGESAHAN ARAH KIBLAT BAGI JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG


1. MENERIMA PERMOHONAN
Permohonan bagi penentuan dan pengesahan arah kiblat perlulah dibuat secara bertulis kepada Bahagian Falak Syarie & Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Setiap permohonan perlulah disertakan bersama:
  • Pelan Lokasi mengandungi lot, mukim, dan daerah.
  • Nama dan nombor telefon pihak yang boleh dihubungi.
Pemohon perlu melantik Juruukur berlesen bagi mengendalikan kerja-kerja ukur di tempat yang ditetapkan.

Setiap permohonan akan mengambil masa 10 hari dari tarikh permohonan diterima sehingga proses pengesahan.

2. MEMBUAT TEMUJANJI DAN PERSETUJUAN
Setelah permohonan diterima, kakitangan Bahagian Falak Syarie akan mengenalpasti lokasi permohonan, dan mengira azimut kiblat sebenar lokasi tersebut.

Setelah didapati azimut kiblat, kakitangan Bahagian Falak Syarie akan menghubungi pemohon berdasarkan nombor telefon yang dibekalkan dan menetapkan tarikh bagi kerja-kerja penentuan  dan pengesahan arah kiblat.

3. PENGESAHAN DI LOKASI MASJID / SURAU

3.1 Sebelum Hari Pengesahan
  • Pihak kontraktor hendaklah mengarahkan Juruukur berlesen yang dilantik untuk membuat kerja-kerja trabas ukur sama ada melalui batu sempadan atau cerapan matahari.
  • Segala maklumat yang diperolehi hendaklah direkodkan dan diserahkan satu salinan kepada kakitangan Jabatan Mufti pada hari pengesahan dibuat.
3.2 Semasa Hari Pengesahan
  • Pihak kontraktor perlu memastikan juruukur telah bersedia dengan peralatan yang siap didirikan di tapak masjid / surau.
Berdasarkan maklumat yang direkodkan ketika kerja-kerja trabas ukur, pihak juruukur perlu mengaplikasikan semula kerja-kerja tersebut sebelum membuka azimut kiblat.

Penandaan arah kiblat perlu dibuat di dalam tapak masjid atau surau dan dua tanda di luar kawasan pembinaan.

Kerja-kerja tersebut hendaklah disaksikan oleh wakil Bahagian Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Kaedah-kaedah lain yang digunapakai dan diperakui oleh Jabatan Mufti adalah seperti:
  • Kaedah Lintasan Matahari Harian 
  • Kaedah Tongkat Istiwa
  • Penggunaan Kompas
  • Kaedah Pelan Lantai
Ketika di lokasi, pihak-pihak berikut disyorkan hadir bersama:
  • Wakil Pejabat Agama Islam Daerah.
  • Wakil Jawatankuasa Masjid / Surau.  
4. MENGISI BORANG PENGESAHAN
Setelah berpuas hati dengan kerja-kerja mengukur, kakitangan Bahagian Falak, Jabatan Mufti perlu mengisi borang-borang penentuan dan pengesahan kiblat dan menandatangani borang tersebut bersama-sama wakil kontraktor / juruukur / pemohon.

5. MENGELUARKAN SURAT PENGESAHAN ARAH KIBLAT
Pihak Jabatan Mufti Pulau Pinang akan mengeluarkan satu surat perakuan pengesahan arah kiblat lokasi tersebut kepada pemohon dengan satu salinan diberikan kepada Pejabat Agama Daerah.

Sijil Perakuan akan diberikan kepada pemohon selepas bangunan masjid / surau siap dibina dan hanya diberikan kepada pihak jawatankuasa masjid / surau (jika diminta).

6. PENUTUP
Prosedur penentuan dan pengesahan arah kiblat di Pulau Pinang ini mewujudkan sebagai garis panduan yang perlu diikuti dalam proses kerja penentuan dan pengesahan arah kiblat.

Prosedur ini diwujudkan bukanlah untuk menyukarkan pelbagai pihak tetapi ingin mewujudkan budaya kerja yang lebih efektif, bersistematik dan praktikal.

Mudah-mudahan dengan adanya prosedur ini, ia menjadi rujukan dan panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penentuan dan pengesahan arah kiblat di Pulau Pinang.

Sebarang permohonan dan kemusykilan boleh merujuk terus kepada:

Bahagian Falak Syarie & Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Tingkat 48, KOMTAR
10000 PULAU PINANG.

@ Hubungi: 04-2632975 / 04-6505452 / 04-6505453 / 04-6505454

  • Ustaz Mohd. Jais Anuar bin Ahmad          
  • Ustaz Ahmad Yusof Farid bin Abdullah     
  • Ustaz Anuar bin Arifin
  • Ustaz Abdul Jalil bin Yahya                   
No. Faksimili: 04-2632985

* Diubahsuai daripada Manual Prosedur Kerja "Penentuan Arah Kiblat" Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Disediakan oleh:
Bahagian Falak Syarie dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.         

No comments:

Post a Comment